"Keputusan Perang Uhud : SERI, bukan KALAH" - Analisis Syekh Al-Mubarakfuri


Benarlah kisah-kisah dalam al-Quran hanya akan menjadi IBRAH kepada mereka yang ULIL-ALBAB (tajam pemikiran dan tidak simple-minded). Terlalu banyak yang perlu diperbetulkan pada ummah apabila berkomunikasi dengan fakta sirah. Bukan sekadar sumber kesahihan sesuatu fakta sirah, tetapi bagaimana mentafsirkan fakta yang sudah sahih itu belum suatu upaya yang mudah diperolehi melainkan kita berguru dengan para ulama yang diberikan "hikmah" oleh Allah S.W.T. Antara fakta dan persepsi kepada fakta, kekadang cara kita mentafsir dan mempersembah sesuatu episod terpenting dalam hayat perjuangan Rasulullah kurang tepat atau kurang menyeluruh. 


Saya tidak berhasrat untuk mengungkap satu persatu fakta tersurat secara kronologikal mengenai perang Uhud. Para pembaca boleh manfaatkan Dr Google atau membuat pembacaan sendiri mengenai perang Uhud dan adegan akhirnya di Hamra' al-Asad  Apa yang menarik perhatian saya adalah analisis tajam yang dibuat oleh Almarhum Al-Muhaddith Syekh Sofiurrahman al-Mubarakfuri (sedikit profail di sini). Karya beliau, Al-Raheeq al-Makhtum ini telah mendapatkan pengiktirafan juara sirah nombor satu dalam muktamar " Sayembara Buku Sirah Nabawiah" anjuran Rabithah al-Alam al-Islami.

Cukup menyentuh hati kisah Hamra' al-Asad dari Syekh Nabil al-'Uudhi. Sesungguhnya peranan Ma'bad di Uhud sama seperti Nuaim Mas'ud dan Huzaifah di Ahzab. Bacaan Nabi mengenai serangan mendadak berskala besar Quraisy ke atas Madinah selepas Uhud benar. 3 hari penantian di Hamra al-Asad, Abu Sufyan dan Quraisy tidak muncul-muncul. Allah mencampakkan ketakutan ke dalam hati-hati mereka. Uhud hakikatnya berkesudahan dengan "intishar al-ma'nawi" Rasulullah S.A.W.
Analisa beliau sangat menarik.  Saya merumuskan :

- Bagaimana pemenang perang dari pasukan kuffar boleh mendabik dada menang dalam keadaan tidak mendapat sebarang tawanan perang, harta rampasan perang dan mahupun OR (Madinah) tidak dimusnahkan walhal Madinah hanya sekitar 5-6 kilometer sahaja dr Uhud ? 

- Menjadi adat perang Arab, mereka akan berpesta sekurang-kurangnya sehari dua di tempat mereka menang, namun kenapa Abu Sufyan tidak melakukannya, bahkan berundur lebih awal tanpa segan silu sebelum tentera Islam berundur. 

- Kenapa Abu Sufian tidak membuka pusingan ketiga peperangan ketika beliau mampu melakukan secara moralnya dan kemampuan fizikalnya ? 

- Bagaimana anda mengatakan tentera Islam kalah sedangkan sebahagian besar tentera tidak undur sedikitpun, teruskan berjuang untuk mengelakkan ada para sahabat menjadi tawanan walaupun seorang, bahkan Nabi tidak membuat 'kenyataan rasmi' pun bahawa baginda mengaku kalah mahupun mengangkat bendera putih.

Demikianlah antara analisis menarik Mubarakfuri.

"Suatu hakikat yang tidak syak lagi bahawa peperangan Hamra' al-Asad bukanlah satu peperangan yang berasingan, malah ia merupakan sebahagian dari peperangan Uhud, malahan sambungan kepada peperangan Uhud itu sendiri dan siri terakhir dari keseluruhan tahap-tahap dan penceritaannya secara terurai, di ketika para pengkaji menyelidiki mengenai kesudahan peperangan ini, apakah ianya suatu kemenangan atau tidak ? ...


Walaubagaimanapun, satu perkara yang tidak diragui, di mana tentera Makkah tidak dapat menawan institusi ketenteraan Islam disebabkan sebahagian besar tentera al-Madinah tidak berundur lari dari medan pertempuran meskipun berlaku huruhara di barisan tentera Islam, malah seluruh mereka menentang tentera Makkah hingga dapat mereka berkumpul semula di sekeliling qiadah (pimpinan) dan tidak membiarkan tentera lawan memburu askar-askarnya. 


Justeru itu tidak ada seorang pun yang menjadi tawanan tentera musyrikinmalah tentera musyrikin tidak mendapat sebarang harta rampasan perang pun dari kaum muslimin dan tentera musuh tidak pula (bersedia) membuka medan pertempuran ketiga (sebagai kata putus pemenang peperangan yang sebenar) meskipun tentera Islam masih di pengkalan perjuangannya. 


Demikian juga tentera musyrikin tidak pula bermukim di medan pertempuran untuk selama sehari, dua atau tiga hari seperti yang biasa dilakukan oleh pihak yang menang sebagai tradisi amalam (Arab) di masa itu, malah (tanpa segan silu) dengansegera pula berundur dari situ terlebih dahulu, meninggalkan medan pertempuran lengang sahaja sebelum tentera Islam meninggalkannya. 


Tidak pula mereka berani menyerang Madinah untuk menawan kaum wanita sebagai rampasan perang dan harta-harta di sana sedangkan jarak Madinah dengan medan pertempuran hanya beberapa langkah sahaja, dalam keadaan ianya sudahterdedah dan terbuka kepada sebarang serangan.


Kesemuanya ini membuktikan kepada kita bahawa apa yang dipungut oleh Quraisy dari peperangan Uhud ini tidak lebih dari satu kesempatan dan peluang untuk mereka menimpakan kerugian yang teruk ke atas kaum muslimin di samping kegagalan mereka untuk membanteras dan menghapuskan tentera Islam, yang biasanya dilakukan oleh pihak penyerang di mana mereka tidak akan teragak-agak untuk membunuh kesemuanya tentera lawannya
  
(tambahan saya : termasuk membunuh Nabi S.A.W sendiri sebagai Perdana Menteri kerajaan Madinah gagal, dalam keadaan secara emosionalnya pula, bukankah dendam  kesumat kekalahan Badar tahun lepas dan kematian 20 dari 27 orang paling "hardcore" - menurut riwayat al-Maqrizi - untuk membantai dan membunuh Nabi termasuk Perdana Menteri mereka sendiri, Abu Jahal, semuanya mati di Badar), dalam keadaan seperti mana yang telah terjadi kepada tentera Islam, maka sebab itu untuk dikatakan bahawa tentera Quraisy memperolehi satu kejayaan adalah TIDAK, dan JAUH SAMA SEKALI.


Malah apa yang menguatkan lagi sikap kita di mana Abu Sufian bergegas untuk berundur dari medan pertempuran kerana beliau takut tenteranya akan mengalami kekalahan, seandainya beliau membuka semula medan pertempuran yang ketiga. Penegasan ini dapat diperhatikan dari sikap Abu Sufian terhadap peperangan pusingan ketiga iaitu Hamra' al-Asad itu.


Untuk itu, maka kita menegaskan bahawa peperangan ini adalah sebahagian yang tidak terpisah dari induknya (cerita asal dan tajuk utamanya), setiap pihak memperoleh bahagian masing-masing, kerugian dan keuntungan, di penghujungnya setiap pihak menarik diri tanpa memperlihat di mata lawannya sebagai lari dari medan peperangan dengan meninggalkan tapaknya ditawan oleh lawan. Inilah yang dikatakan bahawa ia suatu peperangan yang bersambung dengan (cerita) awalannya. 


Untuk itulah Allah menjelaskan dalam firmannya dalam surah an-Nisa : 104 :"Janganlah kamu lemah melawan kaum (musuh) itu, jika kamu mendapat kesakitan, mereka pun mendapat kesakitan juga sebagaimana kamu mendapat kesakitan. (tetapi) sedangkan kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan."


(Ayat di atas) Allah menggambarkan perasaan yang dialami oleh satu kem sebagaimana yang dirasai oleh kem yang satu lagi, ini membawa erti di mana kedua-dua situasi adalahsetara, kedua-dua pasukan masing-masing pulang dengan tidak membawa kemenangan."

Pasukan Quraisy menumpang kebijaksanaan Khalid al-Walid cukup brilliant dengan tipu muslihat dan sanggup berkuda sangat jauh melebihi 13 kilometer untuk menyerang dari belakang tentera Islam di dari arah bukit Uhud tanpa disedari. Pasukan Islam pula menumpang kebijaksanaan Ma'bad bi Abi Ma'bad al-Khazaie pakar propaganda Nabi di Hamra' Asad (aksi final Uhud) yang mempengaruhi Abu Sufian, ketua tentera Quraisy membatalkan hasrat menyerang Madinah. Kuasa kebijaksanaan dalam peperangan adalah pengajaran sejarah yang sentiasa berulang.
(sumber foto : http://laxamana.multiply.com/)


Wallahu a'lam.

Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya mereka (kafir) itu pun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim” (Ali Imran: 140).

Rujukan : 
Halaman 397-399, Ar-Raheeq Al-Makhtum Sirah Rasulullah S.A.W, Sheikh Sofiy al-Rahman Al-Mubarakfuri, terjemahan Mohd Darus Senawi Ali, terbitan usahama Cresent News (K.L) Sdn. Bhd dan Kumpulan Usahawan Muslim Sdn. Bhd.

0 Berkata Benar:

Post a Comment

Terima Kasih atas komen anda...

Powered By Blogger