Terima Kasih, Konduktor bas!

Saya teringat sebuah peristiwa di mana saya mengejar bas nombor 5 berwarna biru yang akan membawa saya dari Taman Bangsar ke Kota Raya, Kuala Lumpur. Ketika itu saya bersekolah di St. John’s Instituition, Bukit Nanas, Kuala Lumpur dan bas awam Sri Jaya merupakan cara pengangkutan pergi balik sekolah. Pada hari peristiwa berlaku, saya berada kira-kira 50 meter dari perhentian bas apabila bas nombor 5 itu sudah mula bergerak dari situ.
          Saya membuka langkah mengejarnya dan kelihatan bas itu berhenti menunggu saya. Sebaik saja menaiki bas saya terus duduk di kerusi terdekat dengan tangga sambil termengah-mengah, keletihan membawa badan saya yang amat sihat. Tiba-tiba terdengar satu jeritan:
Oi! Lain kali katalah terima kasih…kami semua menunggu kamu.”
          Nafas saya yang laju termengah-mengah terus berhenti sambil saya menoleh mencari siapa yang menjerit marah itu. Suasana penumpang bas yang tidak ramai ketika itu memudahkan saya mengenali siapa orangnya. Orang yang menjerit marah itu ialah…konduktor bas. Umurnya lebih kurang empat puluhan dan beliau agak kerap bertugas dalam bas nombor 5. Saya mengangguk-angguk setuju bercampur maaf. Namun tak terucap “terima kasih” kerana masih terkejut.
          Sejak peristiwa itu saya melazimkan diri mengucapkan terima kasih kepada sesiapa yang berbuat baik kepada saya. Teguran direct lagi tidak berlengah-lengah oleh konduktor bas tersebut lebih 25 tahun yang lepas masih segar dalam ingatan saya dan apa yang beliau tegur masih menjadi amalan saya hingga hari ini. Alhamdulillah.
Sukar Menegur.
        Pada pengamatan saya, di antara budaya kurang cemerlang sesama umat Islam ialah kita sukar menegur kesalahan orang lain. Kita nampak dia buat salah, kita dengar dia buat salah dan kita tahu itu satu kesalahan. Namun pelbagai tembok tiba-tiba terbina dalam imaginasi kita yang akhirnya menyebabkan kita berdiam diri dan beralih kepada sesuatu yang lain.
          Ambil saja contoh suasana kita duduk minum teh tarik bersama rakan-rakan. Kita nampak rakan di sebelah kanan minum dengan tangan kirinya, kita dengar rakan di hadapan menuduh tanpa bukti seorang ahli politik dan kita sedar rakan di sebelah kiri asyik menjeling seorang gadis di meja lain. Berapa ramai di antara kita yang akan menegur kesalahan-kesalahan rakan-rakan kita itu. Atau kita berbisik kepada hati sendiri “Ahh! Tak mengapa, hal kecil”. Atau kita buat-buat tak tahu, tak dengar dan tak sedar?
          Antara alasan yang sering diberikan oleh mereka yang ingin menegur tetapi tidak menegur ialah tidak cukup ilmu. Mereka berkata menegur termasuk dalam kategori amar ma’ruf dan nahi mungkar di mana antara syaratnya ialah berilmu. Saya berkata, syarat berilmu itu memang betul. Akan tetapi apakah tahap ilmu yang mesti dicapai oleh seseorang itu bagi membolehkan dia menegur? Adakah dengan sijil pusat pengajian tinggi dalam jurusan agama, adakah ijazah tok guru pondok? Tentu tidak. Apatah lagi kebanyakan kesalahan yang berlaku sebenarnya merupakan sesuatu yang diketahui hukumnya oleh orang ramai.
          Alasan kedua ialah kita sendiri kerap kali buat salah lalu bagaimana mungkin hendak menegur orang yang berbuat salah? Bagi alasan ini suka saya menukil kata-kata Imam al-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim yang bermaksud:
Para ulama menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang mengajak kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemungkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Akan tetapi, dia tetap mengajak kepada kebaikan walaupun dia memiliki kekurangan dalam hal yang dia ajak kepadanya dan dia tetap mencegah kemungkaran walau kadang-kala dia melakukan apa yang dia cegah. Ini kerana sesungguhnya yang wajib pada dirinya ialah dua perkara, yakni (1) mengajak dirinya sendiri kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran serta (2) mengajak orang lain kepada kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran. Dia tidak boleh lalai dari kedua-dua perkara tersebut.”
          Alasan ketiga, perlu menunggu suasana yang sesuai untuk menegur. Berapa ramai di antara kita – termasuk saya – yang menggunakan alasan ini untuk tidak menegur saat melihat kesalahan, lalu akhirnya tidak menegur langsung sehingga hari ini? Percaya atau tidak, dalam kebanyakan kes suasana paling sesuai untuk menegur ialah pada saat kesalahan itu berlaku. Ini kerana pada saat itu pesalah sedang melakukan kesalahan sehingga dia tidak memiliki hujah untuk mengelat. Sehingga pada saat itu jugalah teguran akan masuk menjadi warganegara yang tetap dalam dirinya.
          Masih berkenaan alasan ketiga ini, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Rasulullah, akan ditemui bahawa dalam kebanyakan kes baginda tidak menangguhkan teguran. Sebaik saja melihat para sahabat membuat kesalahan, baginda akan terus menegur. Sebaik saja melihat satu suasana yang memerlukan tunjuk ajar, baginda akan terus menyampaikannya. Ini berlaku sebegitu kerap sehinggakan dalam kaedah Ushul al-Fiqh terdapat kaedah yang berbunyi lebih kurang: “Sesuatu persoalan agama tidak akan ditangguhkan oleh Rasulullah.”
Sukar Ditegur.
        Termasuk budaya kurang cemerlang sesama umat Islam ialah sukar ditegur. Sekali sekala kita berjumpa dengan mukmin yang sudi menegur, akan tetapi teguran beliau kita sambut dengan bantahan, seribu satu alasan dan air muka yang marah. Padahal sepatutnya kita amat bergembira lagi berterima kasih apabila ada orang yang sudi menegur kita. Ini kerana melalui teguran kita dapat mengetahui kesalahan kita dan memperbaikinya. Melalui teguran kita dapat mengetahui orang itu mengambil berat tentang kita. Sudah tentu ini merupakan sesuatu yang baik lagi patut kita berterima kasih.
          Alasan yang kerap diberikan oleh mereka yang sukar ditegur ialah, teguran tersebut disampaikan dengan cara yang kasar. Kalau lembut dan berhikmah, tentu ia disukai. Merujuk kepada alasan ini, saya teringat sebuah hadis sahih di mana Rasulullah melihat beberapa sahabat yang berwudhu’ dengan hanya mengusap kaki mereka. Sebaik saja melihat kesalahan itu, Rasulullah menegur tanpa lengah: “Celakalah tumit-tumit (yang bakal terkena) api neraka!” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 58]
          Teguran Rasulullah ini memang keras untuk kesalahan yang kecil. Akan tetapi saya pasti ia menjadi warganegara yang tetap kepada para sahabat yang ditegur. Justeru menegur dengan lembut mungkin benar, tetapi menegur dengan tegas berkemungkinan besar lebih berkesan.

1 Berkata Benar:

salam..em...betul jgk tu...kdg2 kita susah nk menegur dan sesetengahnya tidak suka ditegur...syukran atas artikel yg menarik ni...(^_^)

 

Post a Comment

Terima Kasih atas komen anda...