Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Mutmainnah dan kisah nafsu

Usai maghrib, Mutmainnah mengesat air mata. Betapa deras ia mengalir sementelahan hatinya semakin tegang menghitung khilaf yang dilakukan sehari-hari. Sedar mahupun separa sedar. Bukan dengan Sang Khaliq sahaja, bahkan dengan ciptaan-Nya juga. Bukan dia tidak pernah menyesal suatu ketika dulu. Dia pernah! Tapi, dia tersungkur lagi..

Air jernih menyelusuri pipi. Dibiarkannya sahaja. Perempuan dan air mata ibarat sahabat sejati. Wudhu' itu ikatannya. Itu kata ibu Mutmainnah. Lantas, Mushaf 'Uthmani digapainya. Sudah seminggu dia tidak menyentuh kitab suci itu lantaran telah dilarang oleh Allah kepada kaumnya agar tidak menyentuh dan membaca kalam itu untuk suatu tempoh tertentu. Walaupun pada hakikatnya teman-temannya sering mengingatkan, jangan lupa zikir itu masih ada. Setiap langkah kamu ke dewan kuliah, pulang ke bilik, mahu ke mana-mana sahaja, lidah kamu masih tidak dihijabkan untuk menyebut nama-Nya, puji agung-Nya.

Mutmainnah akui itu semua tetapi tatkala bibir mula bergerak-gerak, pasti Syaitan mula memadam ingatan dan mengalihkan pandangannya.

"Mutmainnah, cuba lihat sana! Baiknya lelaki itu kan? Jalan tak pandang perempuan pun."
"Mutmainnah, tak payah la terkumat-kamit macam tu.. Nanti orang ingat kamu sewel pula"
"Mutmainnah...ini"
"Mutmainnah...itu.."

"Aku memohon ampun dari-Mu ya Allah!" Mukanya diraup entah buat ke berapa kali. Jutaan penyesalan dilontarkan untuk mendambakan keampunan Tuannya.

Tenang, diam, dan dengan perlahan-lahan dia menyelak halaman yang ditanda minggu lepas.

Ayat 125 dari surah al-An'am dibacanya dengan tartil, kemudian disambung pula dengan ayat 126. Dia berhenti seketika, bagaikan ada magnet yang menariknya untuk mentadabbur ayat tersebut. Terjemahan dibuka dan diteliti maknanya..

"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran."

Air matanya lebat lagi. Tanda kesyukuran kerana tatkala bergelumang dengan karat-karat dunia, dia masih layak untuk dipimpin bagi menerima taufiq-Nya. Dia tidak memandang ke belakang lagi. Dia dahaga! Dia lapar! Dia rakus menyantap hidayah Allah yang mencurah-curah jatuh seolah-olah cuba untuk menyucikan hatinya yang sering berbolak-balik itu.

"Kalau benar aku sentiasa mohon untuk berlindung dengan Allah dari syaitan, kenapalah aku masih terdorong untuk menghampiri lereng-lereng dosa ni?" Mutmainnah terfikir lagi selepas menamatkan bacaannya pada malam itu. Mushaf biru itu disimpan kembali ke tempat asal. Dengan seragam putih yang masih tersarung, dia ingin mengisi malam-malam bercahaya itu dengan muhasabah.

Dia teringat kembali buku yang pernah dibacanya suatu ketika dulu, 'Personaliti Wanita Yang Disayangi Allah & Rasul'. Buku itulah yang menjadi hadiah hari lahirnya yang ke-22 oleh kakaknya, Mardhiyah..

Wanita itu banyaknya nafsu 90 peratus manakala akalnya 10 peratus sahaja. Tetapi berbeza bagi sang laki-laki, 90 peratus itu akalnya tetapi nafsunya 10 peratus sahaja.

Maka beruntunglah bagi si wanita kerana telah dianugerahkan sang laki-laki sebagai pemimpinnya, kerana sang laki-laki itu banyak akalnya yang mampu mendidik dan menunduk nafsu si wanita tersebut.

"Eh.. betul ke wanita ada banyak nafsu. Aku tengok zaman sekarang lelaki yang berlebihan nafsunya dari wanita." Desis hati kecilnya ketika itu.

Lantas, malam khamis tiga minggu lalu yang menjadi kebiasaan untuk Mutmainnah dan akhawat lain untuk menerima tarbiah dari naqibah mereka tidak dipersia-siakannya.

"Kak Aishah, kenapa Allah bagi kaum kita ni banyak nafsu?"

"Oh.. kaya la kita ada banyak nafsu.. hehe" Kak Aishah cuba berseloroh memulakan muqaddimah.

"Ala akak ni.. takkan nak bergelar jutawan nafsu pulak.. mentang-mentang baru balik Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan minggu lepas ye.." Mutmainnah menyakat naqibahnya itu kembali.

Seronok. Antara mereka tiada jurang. Walaupun bergelar seorang naqibah yang sudah berkahwin dan berkerjaya pula sebagai seorang jurutera, Kak Aishah tidak pernah meletakkan jurang yang tinggi antara dia dan mad'unya.. Uslub tarbiyah yang menarik barangkali.

"Begini Ina, sebenarnya dalam dunia ni, nafsu ada tujuh peringkat.. dan bukan semua nafsu yang Allah cipta itu tidak bagus.." Kak Aishah menarik nafas panjang sebelum meneruskan bicaranya...

"Nafsu pertama ialah Ammarah iaitu bagi mereka yang sentiasa menghampiri maksiat, terlalu gembira bila mendapat nikmat, dan terus berputus asa apbila diuji. Mereka tidak sedih dan tidak akan menyesal jika berada di dalam maksiat dan kejahatan."

"Contohnya kak?", sampuk mereka tidak sabar.

"Contohnya?? Emm.. macam ni.. Seorang wanita yang mengaku Islam tetapi bangga apabila tidak menutup aurat. Dia tahu hukum menutup aurat itu wajib tetapi tidak pernah berasa berdosa apabila tidak memakai tudung atau apabila memakai pakaian jarang.."

"Yang kedua, nafsu Lawwamah iaitu bagi mereka yang kadang-kadang terjebak dengan dosa tetapi sering menyesal dengan perbuatannya itu. Dia sentiasa berusaha untuk berubah tetapi kadang-kadang tidak dapat mengelak godaan syaitan. Kadang-kadang, manusia bernafsu Lawwamah ni akan terdetik di dalam hati mereka untuk berasa riya' apabila melakukan sesuatu kebaikan."

"Kak, macam mana nak elak nafsu Lawwamah ni ek?" soal mereka lagi.

"Mujahadatunnafs! Jihad melawan nafsu. Sebenarnya, nafsu jahat dan Iman sering berlumba-lumba untuk memenangi kita. Kita manusia, siap berakal lagi! Maka, pergunakanlah akal pemberian Allah ini dengan cara yang paling waras."

"Terima kasih kak... ok, sila sambung lagi.. ehe".

"Ye baik cik adik... nafsu ketiga ialah Mulhimah. Peringkat ini boleh dicapai apabila manusia tu dapat melawan nafsu Lawwamahnya dengan bersungguh-sungguh untuk menyucikan hati. Biasanya, mereka ini memiliki sifat takut, syukur dan bertawakkal kepada Allah yang sebenar-benar... bukan hanya enak melafazkan kalimah syukur dan tawakkal di mulut sahaja. Taubat mereka pun merupakan sebenar-benar taubat. Bukan on off macam tu je.."

"Martabat seterusnya ialah nafsu Mutmainnah iaitu peringkat nafsu yang pertama yang diredhai Allah s.w.t. dan layak memasuki Syurga-Nya", kak Aishah berhenti seketika.. mengambil nafas barangkali... fikir Mutmainnah yang masih tersengih-sengih tatkala namanya disebut sebagai salah satu peringkat nafsu yang layak ke Syurga.

"Orang yang memiliki nafsu Mutmainnah ni memiliki sifat pemurah yang amat sangat. Wang di tangan mereka tidak pernah lekat kerana kerapnya bersedekah. Mereka juga kuat beribadah dan memiliki taqwa yang sebenar iaitu takut dan harap."

Oh.. sesungguhnya nama tidak dapat mewarisi peringkat nafsu! huhu.. Mutmainnah hanya mampu mendengus di dalam hati. Dia masih ingat lagi kisah 'Takut & Harap Saidina Umar' yang mana apabila ditanyakan oleh Rasulullah s.a.w..

"Hai Umar, apa yang kamu maksudkan dengan TAQWA?"

Jawab Umar "TAKUT dan HARAP... iaitu aku takut jika semua manusia layak ke Syurga kecuali aku dan andaikata jika seorang saja manusia yang layak ke Syurga, aku berharap itulah aku."

"Ok.. nak sambung lagi ke?" Kak Aishah memecahkan kesunyian yang menyelubungi mereka sebentar tadi..

"Nak.. nak.." Nusaibah, sahabat mereka dari Baling, Kedah cepat-cepat menjawab. Fuh, bersemangat.

"Seterusnya ialah nafsu Radhiah. Mereka yang berjaya sampai ke peringkat nafsu ini mempunyai hubungan dengan Allah yang dekat. Mereka mengenali zat-zat Allah dengan kenal yang sebenar-benarnya. Yang paling hebat, mereka tidak pernah takut akan bala dan tidak tahu gembira pada nikmat, yang mereka kenal ialah keampunan dan redha Allah sahaja."

"Oh.. ini macam tahap wali-wali Allah la ni ye kak?"

"Ya.. selain itu wali-wali Allah ini dianugerahkan dengan kelebihan memiliki firasat yang tinggi." Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya :

"Takutilah akan firasat orang mukmin, sesungguhnya mereka melihat dengan nur [petunjuk] Allah s.w.t.. [riwayat At-Termizi]

"oh.. macam tu rupanya.." sampuk Anisa, teman sehalaqah mereka juga.

"Ok.. Akak sambung sikit lagi ye.. Dua saja lagi.. akak cuba ringkaskan. Yang keenam ialah nafsu Mardhiyah, iaitu orang yang memiliki peringkat nafsu ini mempunyai hati dan jiwa yang benar-benar sebati dengan Allah s.w.t. dan yang paling seronok, setiap perbuatan mereka pasti Allah telah redha.. seronok kan?"

"Ha'ah.. seronoknya kalau setiap amal kita confirm and confidence je Allah redha.."

"Conclusion, buat yang Allah suruh, tinggal yang Allah larang! Hoho.. seronok je akak cakap macam ni kan?.. Payah nak buat tu dik, payah..! sebab tu la, kita diberi peluang untuk istighfar. Leka dan terus memohon ampun. It is the best formula!"

"Dan yang last ialah nafsu Kamilah, peringkat yang hanya mampu diperoleh oleh para Rasul, para Nabi dan wali Allah. Betapa hebatnya mereka, setiap detik amal di dalam kehidupan mereka hanya Allah tujuannya. Tiada dunia dan segala isinya. SubhanaLlah!"

"Fuh.. semput akak nak habiskan semua peringkat nafsu tu... ok, semua dapat dan faham?"

"Dapat kak.." jawab mereka serentak.

"Ha.. good girls! Sekarang, akak nak kamu semua nilai balik nafsu masing-masing di peringkat mana. Muhasabah itu mesti! Ingat, penciptaan nafsu oleh Allah s.w.t. itu cantik. Ada nafsu yang baik dan jahat. Jadi, tak boleh nak pertikaikan lagi kenapa wanita tu ada banyak nafsu sebab kalau dia pandai menundukkan nafsunya, insya-Allah akal dan nafsu tu akan berjalan seiring.."

"Lagi satu, walaupun nafsu yang baik tu seolah-olah payah untuk kita nak dapat, tetapi kita tidak boleh putus asa. Contohnya, kalau Ina nak dapatkan peringkat nafsu Mutmainnah tu, kena jihad lebih la ye sayang.."

"Err.. hehe.. InsyaAllah kak!" Tersengih-sengih Mutmainnah. Macam tahu-tahu je aku tengah terfikir tentang tahap nafsu tu.

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang sampai malam ini. Ya, mungkin aku terlalu mengikut nafsu yang kurang baik menyebabkan aku terjebak untuk melakukan dosa-dosa kepada Allah. Mungkin bagi mereka di luar sana, khilaf yang dilakukannya itu sekadar dosa-dosa kecil yang boleh diampunkan Allah bila-bila masa. Tetapi tidak bagi Mutmainnah, selagi mana tindakannya itu bakal menghantar kakinya untuk selangkah ke neraka, dia tidak tega untuk terus berasa bersalah!

Hurm.. alhamduliLlah, jiwa aku makin damai sekarang. Aku tahu Allah sayang pada aku. Moga hijrah aku kali ini lebih bererti. Aku yakin dengan izin Allah! Mutmainnah sudah mampu tersenyum. Malam 10 Muharam 1432 hijrah ini amat bermakna baginya. Dia telah menemui erti hijrah yang sebenar-benarnya. Esok, hari asyura..insya-Allah, dia akan berpuasa sebagaimana disunatkan berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Puasa 'Asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu. [riwayat Imam Muslim]

Moga Allah terima taubat hamba-hamba yang suka meminta-minta tetapi tidak pernah lupa untuk bersyukur pada-Nya! Ameeenn.


sumber : http://tintafansuri.blogspot.com

Kambing Ke?


Assalamualaikum sahabat & sahabiahku, alhamdulillah ana masih diberi kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini. Alhamdulillah juga hari ini ana di ajak oleh seorang sahabat yang sangat baik untuk bersama-sama mendengar ceramah tasawuf daripada Syeikh Nuruddin Al-banjari. Saat pertama kali ana memandang wajah syeikh kelahiran Indonesia ini ana sangat kagum kerana wajahnya disinari dengan NUR yang sangat terang. Bila mendengar kata-katanya pula ana terpegun kerana keluasan dan ketinggian ilmunya dalam keadaan rendah hati dan tawadhu'nya. Subhanallah, ana teringin sekali memiliki kelebihan seumpama ini. kelebihan yang Allah beri kepada para pejuang agamaNya. Doakan ana ye sahabat!

Walaupun ana tak berkesempatan mendengar ceramahnya sehingga tamat. namun waktu yang singkat itu sangat banyak menimbunkan ilmu dan nsaihat. benarlah majlis ilmu itu ibarat taman-taman syurga. Ana dapat rasakan keindahan berada di taman syurga kerana apabila ana terpaksa keluar dari majlis itu ana rasa sangat hampa dan kecewa dan rugi sekali kerana banyak rahmat Allah yang ana tak kutip dalam majlis itu. Ana teringin nak kongsikan pengisian yang ana dapat tetapi ana rasa ana nak kongsi semua kerana terlalu bermanfaat. tetapi dalam banyak-banyak ilmu yang ana dapat hari ini. ada satu kisah yang bukan dalam dalam topik ceramah beliau tetapi sangat beri kesan yang mendalam pada hati ana. kisah ini bertajuk TOK PENGHULU DAN KAMBINGNYA.

Begini kisahnya...
pada suatu hari seorang tok penghulu kampung ingin menjual lembu peliharaannya ke pasar. setibanya dia di pasar, dia sangat gembira kerana lembunya terjual dengan harga yang tinggi iaitu 3000 dinar. lalu dengan duit itu beliau ingin membeli pula kambing untuk dibawa pulang kerumahnya. Semasa beliau berurus niaga membeli kambing, terdapat segolongan pemuda yang sedang memerhati dan mempunyai niat yang tidak baik terhadap tok penghulu tersebut. lalu sekumpulan pemuda itu berpakat untuk berpecah pada 3 kumpulan. 1 kumpulan akan menunggu di kawasan pasar. 1 kumpulan lagi akan menunggu di tengah jalan pulang tok penghulu dan 1 kumpulan lagi akan menunggu di rumah tok penghulu tersebut. Lalu pemuda-pemuda itu berpecah dan menunggu kehadiran tok penghulu tersebut.

Tibalah masanya tok guru pulang kerumah dengan membawa kambingnya. lalu tok penghulu terserempak dengan kumpulan pertama pemuda yang berniat jahat itu.

Pemuda 1 : MasyaAllah tok penghulu...!!!! cantiknya anjing ini!!!
Tok Penghulu : Kamu ni buta ke? ini kambing, bukan anjing!
Pemuda1 : tidak! ini anjing, bukan kambing!

lantaran tidak mahu terus berbalah, maka tok penghulu mengabaikan pemuda itu dan meneruskan perjalanannya. Lalu tok penghulu terserempak pula dengan pemuda kedua yang siap menunggu di tengah-tengah perjalanan.

Pemuda 2 : MasyaAllah Tok penghulu!!! dimana Tok membeli anjing ini?? sangat cantik sekali!
Tok Penghulu : Ini bukan anjing! ini kambing! (nada Tok penghulu semakin tegas)
Pemuda 2 : bukan!  ini anjing! bukan kambing! 
Tok Penghulu : Kalau ini anjing, mengapa ia mengembek?
Pemuda 2 : Tidak! itu bunyi anjing! itu adalah anjing! tok penghulu telah membawa pulang seekor anjing!

Tok penghulu juga tidak mahu meneruskan perbalahan dan meneruskan perjalanan pulang. Lalu, setibanya dia si kawasan rumahnya, terserempak pula tok penghulu dengan pemuda ketiga.

Pemuda 3 : MasyaAllah tok!!! dimana tok membeli anjing ini! anjing ini cantik sekali!
Tok Penghulu : Aku hairan..adakah ini benar2 anjing? setiap orang yang aku jumpa tadi mengatakan ini adalah anjing! 
Pemuda 3 : Ya tok! ini adalah anjing! macam mana tok boleh kata ini kambing sedangkan ini adalah seekor   ANJING!
Tok Penghulu : Ya! baru aku sedar ini adalah anjing.

lalu tok penghulu pulang ke pasar dan memulangkan kambing yang disangka anjing itu.

Apa MORAL cerita ini?????

Pertama, Keadaan sekeliling sangat mudah mempengaruhi diri kita.
ya! hari ni kita berhadapan dengan keadaan sekeliling yang berbagai-bagai. kebanyakannnya keadaan yang sangat mudah meruntuhkan iman. keadaan masyarakat yang sangat lalai dalam kehidupan juga mampu menyebabkan kita mudah terpengaruh. Jadi, binalah dan carilah keadaan masyarakat yang mampu membina iman dan jatidiri yang mulia andai kita ingin menjadi orang yang beriman dan berakhlak mulia. bukan ana kata MESTI. tapi seboleh-bolehnya berusahalah hidup dalam masyarakat yang hidup dalam ibadah andai kita mahu kuat beribadah. tapi segalanya bergantung pada diri kita sendiri. andai dah diberikan ruang dan peluang untuk memperbaiki diri namun tak menggunakannya, sama saja dengan orang yang tidak hidup dala suasana ibadah tersebut. 

Kedua, Yakinlah dengan ilmu yang benar.
Andai kita yakin ilmu yang kita miliki itu adalah benar dan sahih sumbernya. maka berpegang teguhlah kerana ilmu itu yang akan menerangi kehidupan. andai tiada ilmu maka gelaplah hati. anjing tetap anjing. kambing tetap kambing! jadi tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh. lengkapkan diri dengan ikmu dunia dan akhirat agar kita tak mudah dipermainkan dan supaya kita lebuh dihormati. Jadilah Khalifah yang berilmu.

Wallahua'alam bis sawab..

p/s : mohon betulkan ana andai ada kesilapan atau percanggahan pendapat.




Ana Sudah Bertunang...

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.


Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.


Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.


"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"


Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."


"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."


"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."



Ibu angguk perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.


"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"


Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.



"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."



Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.


"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"


Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila enti menikah?"


Aku tiada jawapan khusus.


"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..."
Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.



"Jemput ana tau!"
Khalilah tersenyum megah.


"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."


Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...


"Usah berlebihan ya..."


Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.


"Insyirah, jom makan!"


Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.


"Tafaddal, ana puasa."


Sahabiah juga semakin galak mengusik.


"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"


"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."


Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.


...........................................................................................


"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."


"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."


"Ya Allah, tenangnya..."


"Moga Allah memberkatinya...."



Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.


Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.


Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.


Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."


Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...


"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"


Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."


"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.


"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.


"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."



"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."



Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.


...........................................................................................


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."


sumber : http://www.murabbi.net/v1/articles.php?article_id=248

Antara NIKAH dan TARBIYYAH...

Sunyi malam membuatkan hati Nitrah semakin gelisah. Dia termenung di jendela biliknya. Angin lembut yang masuk melalui jendela biliknya terasa dingin sekali. Sesekali Nitrah memeluk tubuhnya dengan kedua-dua belah tangannya. Walau Nitrah tahu cuaca malam ini sejuk, dia tetap tercegat di hadapan jendela biliknya. Menikmati malam yang penuh ketenangan. Namun..hatinya teringat kembali peristiwa pagi semalam.

'Assalamualaikum..

' Waalaikumusslam..boleh saya tahu siapa yang bercakap?
Tanya Nitrah ingin tahu.

' Saya Marwan. Saudara Mak Cik Salmah'. Beritahu lelaki itu. Nitrah terkejut. Marwan, lelaki yang telah diperkenalkan oleh Mak cik Salmah kepadaku dua bulan yang lalu. Menurut ibu, Marwan ingin memperisterikan aku. Itulah hasratnya yang telah dia khabarkan kepada Mak Cik Salmah. Aku tidak menyangka jemputan Mak Cik Salmah ke rumahnya dua bulan yang lalu bertujuan untuk memperkenalkan aku dengan Marwan. Lidahku kelu dengan tiba-tiba. Hari ini Marwan sudah berani menelefonku.

'Nitrah..maafkan saya kalau saya mengganggu awak. Saya rasa awak sudah tahu apa tujuan saya menelefon awak ni. Saya inginkan kepastian daripada awak sendiri.'luah Marwan.

Nitrah mula mengatur ayat untuk bercakap dengan Marwan.

'Saya tidak boleh buat keputusan sekarang. Saya bukan macam perempuan lain. Itu awak kena faham'. Balas Nitrah dengan nada suara yang agak tersekat.

'Maksud awak, keputusan awak nak kahwin ni kena tanya murabbi awak dulu. Saya faham. Kakak angkat awak telah menjelaskan kepada saya. Saya rasa itu tidak menjadi masalah. Saya ikhlas nak memperisterikan awak. Semua yang berlaku dalam diri awak saya mampu untuk menerimanya'. Jelas Marwan dengan penuh harapan.

Nitrah tergamam seketika. Hatinya tiba-tiba berdebar-debar.

' Saya harap awak beri masa kepada saya. Saya tidak boleh buat keputusan. Saya buntu sekarang'.

'Baiklah. Namun, saya mengharapkan suatu yang terbaik daripada awak. Assalamualaikum..

' Waalaikumussalam..', balasku lemah.

Perasaan Nitrah semakin tidak tentu arah. Dia teringat kata-kata Marwan. Hatinya tiba-tiba terdetik dan merasakan suatu perasaan yang luar biasa. Adakah aku??? Ya Allah..betulkah keputusan yang akan aku buat ini. Aku terus mencapai telefon bimbitku yang kuletakkan di atas meja.

'Kak Azilah, ada hal mustahak saya nak bincang. Boleh kita jumpa', mesej yang telah kuhantar kepada Kak Azilah terus dibalasnya.

'Insya Allah, malam ni akak free. Datanglah rumah akak',

Hatiku semakin berdebar ketika bertemu dengan Kak Azilah. Kak Azilah sekadar tersenyum melihat gelagatku. Dia memandang wajahku penuh bermakna. Wajahnya tidak putus-putus tersenyum Adakah dia sudah tahu segalanya? Hatiku tertanya-tanya. Kak Azilah duduk di sebelahku. Dia memegang tanganku lembut.

'Ada apa yang nak bincang dengan akak?' tanya Kak Azilah sambil menggenggam erat tanganku.

Lidahku tiba-tiba kelu. Aku tertunduk. Aku cuba bina kekuatan.

'Akak, bolehkah kalau kita kahwin dengan lelaki yang bukan satu fikrah dengan kita, tapi dia faham apa yang kita buat selama ini', tanya Nitrah dengan nada yang bersahaja.

'Boleh tu boleh. Tapi sebaiknya jika kita nak memilih pasangan, kita perlu pilih yang satu fikrah dengan kita. Sebab apa? Sebab dia lebih memahami diri kita. Dia lebih tahu matlamat hidup kita. Kalau dia bukan sefikrah dengan kita, sejauh mana dia mampu menerima keadaan diri kita, Kerja-kerja yang kita lakukan selama ini. Cakap memang senang Nitrah. Dia boleh cakap dia mampu menerima keadaan Nitrah, tapi sejauh mana?

Aku diam seketika dengan jawapan Kak Azilah. Namun hatiku kini semakin berat untuk menerima Marwan. Aku pasti jika itu yang Allah berikan kepadaku, itulah lelaki yang terbaik untuk aku.

'Tapi, saya yakin akak dengan jawapan dia, dengan kesungguhan dia. Dia benar-benar ikhlas mahu menerima saya dan juga penerusan tarbiyah saya. Dia juga mengharapkan ada orang yang dapat mentarbiyah dia. Kalau saya tak kahwin sekarang bila lagi akak?' jawabku penuh yakin.

Kak Azilah memandang aku dengan satu pandangan yang begitu tajam. Aku tidak pasti apakah yang ada di kotak fikiran kak Azilah. Adakah jawapan aku itu telah mengecewakan dia. Aku diam dan tunduk ke lantai.

'Nitrah, akak nak tanya seikhlas mungkin dari dalam hati Nitrah sendiri. Nitrah dah bersedia nak mendirikan rumahtangga, Nitrah bersedia nak menerima lelaki tu dalam hidup Nitrah walaupun bukan satu fikrah dengan kita', tanya Kak Azilah sambil memegang bahuku.

Aku mengangguk tanda setuju. Kak Azilah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia juga mengangguk. Tapi jelas di wajahnya ada raut kekecewaan dengan keputusan yang kubuat. Tapi inilah keyakinanku dengan keputusan yang telah kubuat.

Perjalanan majlis pertunanganku dengan Marwan berjalan lancar. Seminggu lagi majlis perkahwinan kami akan dilangsungkan. Hanya seminggu kami bertunang. Marwan tidak mahu kami bertunang terlalu lama. Baginya, kalau boleh majlis perkahwinan kami cepat-cepat dilangsungkan.

'Akak datang ye majlis perkahwinan saya nanti', jemput Nitrah dengan penuh kegembiraan.

'Insya Allah. Jika tidak ada apa-apa kami semua akan datang. Semoga semuanya selamat ye', balas Kak Azilah.

Majlis perkahwinanku sungguh meriah. Ramai sahabat-sahabatku yang datang. Ini sudah cukup membuatkan aku rasa restu mereka dengan perkahwinanku. Aku tidak dapat menahan sebak apabila melihat Kak Azilah. Dia menghampiriku dan memelukku.

' Nitrah, tahniah. Ingat ye. Nitrah sekarang sudah menjadi isteri orang. Banyak-banyak berdoa moga Allah permudahkan perjalanan tarbiyah Nitrah seterusnya. Jangan menangis. Tak elok menangis di hari yang baik ni', nasihat Kak Azilah membuatkan aku terus menangis. Dia mengelap air mataku dan terus berlalu pergi.

Kini sudah hampir dua bulan perkahwinanku dengan Marwan. Dalam tempoh itu juga aku tidak bertemu dengan Kak Azilah dan sahabat-sahabatku. Rinduku pada mereka terlalu mendalam. Malam itu. Aku seperti mahu menangis mendengar kata-kata Marwan.

'Tak payahlah pergi program tu. Duduk saja berehat kat rumah. Awak tu bukan sihat sangat. Kalau awak nak, abang boleh belikan buku-buku agama untuk awak baca. Sama juga kalau tak pergi programpun. Dapat juga ilmu dengan baca buku tu�, kata Marwan lalu mencapai kunci keretanya. Tinggallah aku keseorangan di rumah. Tiba-tiba wajah-wajah sahabat-sahabatku terbayang di pandangan mata. Kak Idah, Nusaibah, Alia, Mala, Ju dan Ziha yang banyak membantu aku. Hubungan ukhwah yang dulu kini aku rasakan terlalu jauh. Malam itu Kak Azilah telefon.

'Assalamualaikum..Apa khabar?

'Waalaikumussalam..Sihat. Akak sihat? Rindunya saya pada akak dan sahabat-sahabat yang lain'. Balasku.

'Ye ke rindu. Lama tak dengar cerita. Ingatkan dah lupa pada kami. Program kitapun dah lama tak datang', kata-kata Kak Azilah membuatkan aku terasa. Terasa seolah-olah aku tidak sensitif dengan apa yang berlaku pada aku sekarang. Pentarbiyahan aku selama ini terhenti begitu sahaja. Dek kerana sebuah perkahwinan. Adakah perkahwinan aku ini penyebab penghalang untuk aku meneruskan tarbiyah? Ya Allah, silap akukah ya Allah.

'Rindu dan kasih saya tak pernah hilang pada akak dan sahabat-sahabat. Macam mana saya nak cakap dengan akak ye. Saya malu dengan akak dan diri saya sendiri', jawabku dalam tangisan.

'Nitrah, sabar. Cuba Nitrah ceritakan pada akak. Apa yang membuatkan Nitrah rasa malu pada akak dan diri Nitrah sendiri'. Pujuk Kak Azilah.

'Betul cakap akak dulu. Kita kena pilih lelaki yang sama fikrah dengan kita. Sekarang baru saya sedar. Saya silap membuat keputusan menyebabkan tarbiyah saya terbantut dan terhalang. Saya rasa kosong sekarang akak. Saya tak kuat akak. Saya lebih banyak mengalah dengan Marwan,'beritahuku dan terus menangis.

'Nitrah, Jangan salahkan sesuatu yang telah berlaku. Ini dah jodoh awak. Tapi, dalam hal tarbiyah ni awak kena bijak. Nitrah perlu banyak berbincang dengan suami. Banyakkan doa kepada Allah moga Allah tunjukkan jalan. Berikan keyakinan kepada Marwan bahawa tarbiyah ini perlu diteruskan. Akak doakan moga Allah mudahkan Nitrah', pesan kak Azilah membuatkan hatiku bertambah hiba.

Aku termenung di meja makan. Air sejuk yang kutuangkan ke dalam gelas tidak mampu aku minum. Aku teringat sahabat-sahabatku dan Kak Azilah. Hari ini mereka dan sahabat-sahabatku yang lain berrehlah di Taman Tasik Permaisuri. Aku minta keizinan dari Marwan untuk menyertai mereka. Namun, Marwan tetap tidak benarkan aku pergi. Katanya, ibu dan bapa mertuaku akan datang dari kampung. Aku menangis lagi. Menangis dengan keadaan yang berlaku kepada diriku. Aku rindu gelak tawa dan tangisan sahabat-sahabatku. Aku rindu semua itu. Aku juga tahu,sudah pasti mereka juga merindui aku. Namun. Aku sedikitpun tidak menyangka keadaan ini akan berlaku dalam hidupku dari awal perkahwinan sehinggalah aku kini mengandung tiga bulan.

'Abang, esok saya ada program kat rumah Kak Azilah. Saya nak minta izin abang untuk pergi ke sana?' kataku dengan suara yang lembut sekali. Marwan memandang aku dengan pandangan yang cukup tajam.

' Tak payahlah. Awak tu kan mengandung. Tak kan mengandung pun nak pergi juga. Apa-apa yang berlaku nanti abang juga yang susah. Dahlah awak tu alah teruk. Berehat saja lah kat rumah�, balas Marwan. Aku terus menangis. Esakku kali ini lebih kuat. Aku sedih dengan jawapan Marwan. Ternyata sehingga sekarang dia masih tidak mampu memahami keadaan diriku. Matlamat hidupku. Marwan menjadi serba salah apabila melihat aku terus menangis. Dia memeluk bahuku. Aku menepis dan berlalu pergi. Marwan mengekoriku dari belakang.

'Kenapa ni? Menangis macam tu sekali. Tak baik orang mengandung ni banyak menangis. Nanti anak tu pun menangis macam ibu dia juga. Siapa yang susah, abang juga yang susah�, kata Marwan kononnya mahu membuat lawak denganku. Namun tangisanku tak mampu aku hentikan. Dia mula gelabah dan cuba memelukku. Kali ini lebih kuat dan lebih erat. Aku tidak mampu melepaskannya.

'Jangan buat macam ni?' pujuk Marwan.

'Abang, tolonglah faham keadaan diri Nitrah ni. Mana janji abang dulu. Abang…Nitrah ada sahabat-sahabat yang Nitrah rindui. Nitrah rindu program-program seperti Nitrah ikuti dulu sebelum berkahwin dengan abang. Tapi abang tidak pernah memberi peluang untuk Nitrah bersama-sama dengan mereka. Nitrah sedih. Nitrah kecewa dengan abang', luah Nitrah sambil memandang wajah Marwan.

Marwan tidak mampu berkata apa-apa. Pelukannya dilepaskan.

'Buku saja tidak mampu mengisi kekosongan hati Nitrah ni. Nitrah tahu Nitrah isteri abang sekarang. Nitrah perlu taat kepada abang. Tapi, abang juga sebagai suami perlu memahami hati dan perasaan Nitrah. Dulu sudah Nitrah katakan pada abang, Nitrah bukan macam perempuan lain. Nitrah ada tanggungjawab lain selain tanggungjawab Nitrah pada abang. Mengandung bukan penghalang untuk Nitrah tidak melakukan kerja-kerja seperti dulu. Nitrah harap abang faham keadaan Nitrah�, Kata Nitrah untuk cuba memahamkan hati dan diri Marwan.

Marwan menghampiri Nitrah. Dia menggenggam tangan Nitrah erat.

' Baiklah, kalau itu yang Nitrah mahu. Terserahlah. Abang izinkan Nitrah pergi esok', hanya itu kata-kata Marwan dan dia melepaskan genggaman tangannya dan berlalu pergi. Nitrah menarik nafas panjang. rasa kepuasan ada dalam hatinya walaupun dia merasakan jawapan Marwan tadi dalam nada kekecewaan. Kini, Nitrah hanya mampu berdoa agar permulaan yang sedikit ini akan memberikan satu kesedaran kepada Marwan untuk memahami keadaan dan matlamat hidupnya. Hidup dan matinya untuk Islam.
Powered By Blogger