Ya ALLAH Teguhkanlah hati kami!

Kehidupan hari ini sangat mencabar keimanan kita. Kita hampir dikelilingi dengan perkara-perkara syubhat dan membangkitkan nafsu syahwat. Ditambah lagi dengan kemungkaran fitnah, tersebar luasnya kemungkaran, beraneka ragamnya penyimpangan-penyimpangan dalam memahami kehidupan, semakin mencengkamnya musuh dan semakin beratnya ujian dan cubaan ke atas umat Islam. 

Permasalahan dan cabaran di atas benar-benar akan menguji kedinamikan iman kita. Rasulullah SAW pernah bersabda: 

“Sesungguhnya iman itu benar-benar mengalami kelesuan di dalam rongga (dada) salah seorang dari kamu seperti lusuhnya baju. Mintalah kepada Allah SWT agar Allah memperbaharui iman yang ada di dalam hatimu”. (HR Thabrani) 

Rajulun Tsabtun 

Justeru kita perlu melayakkan diri kita menjadi rajulun tsabtun, lelaki (termasuk juga wanita) yang thabat (tetap), teguh dan stabil keimanannya menghadapi persoalan-persoalan di atas. Tsabat menurut Dr. Muhammad bin Hasan adalah istiqamah atas petunjuk, memegang teguh ketaqwaan, mengendalikan diri untuk menyusuri jalan kebenaran dan kebaikan, tidak berpaling ke kanan atau ke kiri mengikuti hawa nafsu dan kehendak syaitan, serta segera kembali bertaubat di saat dosa menyelaputi hati dan jiwa mula beransur dikuasai dunia yang melekakan. 

Nabi Ibrahim AS pernah berpesan kepada putera puterinya: 

“ Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (Al-Baqarah:132) 
Benar sekali! Kita perlu mempertahankan keaslian keislaman kita, jangan sampai Islam kita dikotori dan bercampur aduk dengan perisa-perisa Islam palsu yang kini melambak dipasaran. Akibatnya pemuda pemudi kita hanya islam pada namanya sahaja sedangkan jalan kehidupannya berkiblatkan cara hidup taghut dan logika pemikiran. 

Berpegang teguh kepada Islam apabila menghadapi ujian dan mehnah merupakan salah satu syarat untuk berjaya dalam menegakkan Islam. Keteguhan yang berterusan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Ia perlu melalui pendidikan (tarbiyah) hari demi hari tanpa rasa jemu. Pendidikan bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, sirah para sahabat dan perjuangan ulamak-ulamak muktabar. 

Iman & Taqwa Kunci Tsabat 

Ayuh kita thabat dengan Al Quran dan as-Sunnah, insyaAllah kita akan diberikan kekuatan dan petunjuk oleh Allah SWT untuk tetap istiqamah dengan Islam. Firman Allah SWT: 

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan dua bahagian daripada rahmat-Nya kepadamu, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Hadid:28) 
Firman Allah SWT lagi: 

“Hai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu ‘furqan’* dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (al-Anfal:29) 
Firman Allah SWT lagi: 

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (ath-Talaq:2-3) 
Dari tiga ayat di atas, ternyata kunci thabat adalah ketinggian taqwa kita kepada Allah SWT.

Orang yang bertaqwa akan selalu mendapatkan jalan keluar yang mententeramkan batinnya walau bagaimana besar dan rumitnya permasalahan dan cabaran yang sedang dihadapi. 

Ketika menafsirkan firman Allah Subha Nahu Wa Ta’ala ini, Sayyid Qutb berkata; 

“Inilah bekal tersebut dan persiapan perjalanan… bekal ketaqwaan yang sentiasa menggugah hati dan membuatnya selalu peka, waspada, hati-hati serta selalu di dalam konsentrasi penuh… bekal cahaya yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata memandang. Orang bertaqwa tidak akan tertipu oleh bayangan yang menghalangi pandangannya yang jelas dan benar… itulah bekal penghapus segala kesalahan, bekal yang menjanjikan kedamaian dan ketenteraman, bekal yang membawa harapan atas kurnia Allah SWT; di saat bekal-bekal lain sudah sirna dan semua amal tidak lagi berguna… 

Kata Sayyid Qutb lagi; 

“Taqwa adalah kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus kepada Allah, selalu waspada dan hati-hati agar tidak sampai kena duri jalanan… Jalan kehidupan yang bertaburan duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan, harapan atas segala sesuatu yang tidak dapat diperolehi. Ketakutan palsu daripada sesuatu yang tidak layak ditakuti.. dan banyak duri-duri lainnya.” 

Tsabat Pakaian Iman 

Thabat adalah pakaian Rasulullah dan para sahabat. Perjuangan mereka benar-benar menguji ketaatan dan konsistensi mereka dengan jalan aqidah yang mereka yakini. Suatu saat, kaum kafir Quraish menawarkan perdamaian kepada Rasulullah agar baginda menghentikan seruan dakwahnya. Dengan penuh keyakinan dan keteguhan baginda menjawab: 

“Demi Allah! Andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan persoalan ini (dakwah), saya tidak akan meninggalkannya hingga Allah memenangkan agama-NYA atau aku binasa kerananya.” (As-sirah Nabawiyyah karya Ibnu Hisham) 

Baginda tidak pernah berpaling dari kerjaya besarnya. Baginda tetap tegar dan tidak lemah walau ditimpa pelbagai ujian berat dan halangan ke atas jalan dakwahnya, sejak hari pertama lagi. Sebut sahaja apa jenis ujian yang tidak ditempuh oleh baginda, disekat, dihalang, cubaan rasuah, cubaan pangkat, cubaan kedudukan dan pengaruh, diejek, dibaling batu, diancam bunuh, diembargo, di pulau, diserbu, diserang dan sebagainya, namun baginda tidak pernah tunduk. Semua itu tetap tidak mampu menghentikan baginda dari menyampaikan dakwah dan menyebarluaskan Islam di muka bumi. 

Wahai pemuda pemudi Islam, pakaikanlah diri kita dengan pakaian thabat, mari sertai pasukan rajulun tsabtun, kerana ini adalah pakaian rasmi amilin Islam dan pendokong dakwah Rasulullah SAW dan para nabi yang sebelumnya. 

Dari Ibnu Abbas RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Telah diberitakan kepadaku tentang umat (nabi-nabi terdahulu).Ada Nabi yang berjaya dakwahnya disertai umatnya, ada Nabi yang disertai sekelompok pengikut, ada Nabi yang disertai sepeluh pengikut, ada Nabi yang hanya disertai lima pengikut dan ada Nabi yang hanya diserta dirinya sahaja.” (HR Bukhari) 

Para Nabi terdahulu juga mencontohkan kepada kita sikap thabat dan istiqamah mereka mendepani dakwah dalam kehidupan, meskipun tiada seorang yang mahu mengikuti jejak kebenaran yang mereka bawa. 

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (‘Ali Imran: 146-147)
 

Teguhkanlah Hati Kami! 

Semoga kita beroleh sikap thabat dengan Islam dalam kehidupan kita seterusnya membolehkan kita istiqamah untuk melaksanakan segala tuntutan-tuntutannya. Dari Syahr bin Haushab, beliau berkata bahawa saya pernah bertanya kepada Ummu Salamah, “Wahai Ummul Mukminin! Doa apakah yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW ketika baginda berada di sisimu?” Dia menjawab, “Baginda sering membaca: 

“Ya Tuhan yang membolak balikkan hati! Teguhkanlah hatiku atas agama-Mu.” 

Lalu Ummu Salah bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa doa itu yang sering dibacakan. Baginda menjawab: 

“Wahai Ummu Salamah, tidak ada seorang manusiapun melainkan hatinya berada di antara dua jari Allah. Siapa sahaja yang dikehendaki, Dia akan meluruskannya. Siapa sajaha yang dikehendaki, Dia akan memalingkannya (dari kebenaran.) (HR Tirmidzi) 

Firman Allah SWT dan semoga doa ini menjadi bekalan dalam setiap hari dalam kehidupan kita: 

“(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. (‘Ali Imran:8) 



sumber : http://usrahkeluarga.blogspot.com/2011/01/ya-allah-teguhkanlah-hati-kami.html

7 PERKARA GANJIL

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri
kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut
berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan
kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t.
Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain
kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa
mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas
perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat." "
Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap
kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu
malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat.
Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu.

" Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah
mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s.
w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari
mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim
yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah
mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang
lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku
lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa
begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, "
Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan
meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat
merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna
solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain," Pemuda
itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga
yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti
biasa sahaja. Pabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku
lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu
banyak daripada perutnya itu."

" Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram,
wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar
menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu,
wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah
golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu
hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha
kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

" Ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga
membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh
badannya," sambung pemuda itu.

" Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan
silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran
dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah
Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak
bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan
umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu
siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku
menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan
lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,"

" Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu
hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya
sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa
demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah
golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan
ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh
keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu
hayatnya mahupun sesudah matinya." Ingatlah, sesungguhnya
daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita
akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal
yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Tiket Baitul Muslim

Assalamualaikum.. memandangkan sudah ramai sahabat dan sahabiahku yang sudahpun menghiasi jari manisnya  dengan "besi"... pesanan ini ana tujukan untuk antum.. moga antum dapat membina baitul muslim seperti yang diimpikan..(ana lambat lagi..(^_^)


Ingat, tidak ada manusia sempurna di bumi ini, kita harus menerima kelebihan dan kekurangan pasangan. ..

Mengharungi kehidupan tidak mudah, banyak onak dan duri...

Harta benda tak menentukan kebahagiaan, tetapi saling pengertian lebih penting...

Jangan ingin menang sendiri, tetapi bermusyawarah dalam menghadapi masalah...

Buang jauh-jauh membandingkan pasangan Anda dengan orang lain...

Haram punya pikiran untuk bercerai, meski ada persoalan dalam keluarga...

Suami adalah pemimpin dan istri adalah penolong yang sepadan...

Jangan lupa berikan ciuman kasih sayang kepada suami atau istrimu...

Atur kewangan yang baik, pengeluaran harus lebih kecil dari pendapatan.. .

Dekat selalu kepada Allah jangan lupakan segala kebaikan-Nya. ..

Bermasyarakat yang baik dan bertetangga dengan siapa saja...

Hormati kedua orang tuamu, mertua dan seluruh keluarganya. ..

Didik anakmu dengan baik, jangan dimanja, tetapi sayangi dan tidak menyakiti hatinya...

Tunjukkan kepedulikan sesama kamu, murah hati dan rendah hati...

Ingat selalu, bumi ini hanya tempat sementara...

Jangan ingin cepat kaya, karena akan membuat jatuh dalam masalah. Harta benda diberikan Allah kepada semua orang
yang mengasihi-Nya...

Bersuka-citalah senantiasa dalam segala hal dan tetap muliakan Allah...

Aku merinduimu Ya Rasulullah

Tajuk : Alangkah indahnya hidup ini
Artist : Raihan


Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenaganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku dakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya tuhan saja yang tahu

Kutahu cintamu kepada umat
Umati umati
Kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku tatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenaganmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim

Siapa Rasulullah di hati kita???

12 Rabiulawal menjelang lagi. Tarikh ini mengingatkan kita kepada keputeraan nabi junjungan kita Muhammad S.A.W yang berlaku lebih 14 kurun yang lalu. Insan pilihan Allah ini dilahirkan dengan penuh keistimewaan, sejak hari lahirnya hinggalah waktu wafatnya. Di hari kelahirannya, terpadam api biara Majusi yang tidak pernah padam sebelum itu, runtuhnya istana Kisra Parsi, Mekah diterangi cahaya putih dan pelbagai kejadian pelik lain.

Seminggu sebelum tibanya 12 Rabiulawal, masyarakat di Syria telah sibuk bercakap mengenai Rasulullah S.A.W melebihi dengan apa yang dilakukan mereka pada hari-hari biasa. Ulama’-ulama’ pula sememangnya mengambil kesempatan ini untuk mendidik masyarakat untuk cinta kepada nabi, sesuatu yang susah kita nak dapati di Malaysia. Suasananya begitu terasa. Hari ini pun aku mendengar khutbah Jumaat Sheikh Sariah mengenai cinta kepada Rasulullah. Semasa majlis zikir pada waktu pagi pun, dia bercerita dan memberi tazkirah mengenai cinta kepada Rasulullah. Subhanallah…insaf rasanya apabila merasakan diri ini hanya mampu melafazkan cinta kepada nabi tetapi jauh sekali rasanya kedudukan cinta nabi itu di hatiku mahupun dengan amalanku. Astaghfirullah….

RAHMATAN LIL ‘ALAMIN
Hadirnya baginda ke dunia ini menjadi rahmat besar ke seluruh alam. Bukan sekadar kepada masyarakat Arab di semenanjung tanah arab, bahkan semua orang di atas muka bumi ini. Malah rahmat ini meluas bukan sahaja kepada manusia, tetapi kepada makhluk-makhluk Allah yang lain termasuk malaikat, binatang, tumbuhan, jin, batu-batu dan sebagainya. Rahmat ini datang dengan pakej Islam, bukan dengan pakej lain. Bukan dengan pakej bangsa Arab, bukan dengan pakej nasionalisme, bukan dengan pakej kapitalisme, akan tetapi hanya dengan Islam!! Dengan kata lain, rahmat ini hanya dapat dirasai sekiranya kita mengamalkan Islam. Kita tidak merasai rahmat ini seratus peratus sekiranya kita mencampurkan Islam dengan perkara lain. Malah, rahmat ini dapat dirasakan oleh orang bukan Islam sekiranya Islam dilaksanakan.

BUKAN TEPUK SEBELAH TANGAN
Kalau orang sedang bercinta, mereka sering katakan “Aku bertepuk sebelah tangan” sekiranya cintanya tidak diterima orang atau dia hanya syok sendiri. Kita pun telah mengetahui betapa banyak orang yang frust bercinta hanya kerana cintanya tidak berbalas. Ini fenomena dalam cinta haram atau cinta monyet. Cinta yang dianjurkan oleh Islam amat berbeza benar, sama ada bercinta dengan Allah mahupun cinta kepada Rasulullah S.A.W.

Percintaan dengan S.A.W amat unik kerana baginda telah dahulu memulakan percintaan ini, sebelum kita semua memulakannya. Baginda telah menyintai kita semua sebelum kita semua menyintainya. Baginda telah menghulurkan tangannya untuk bertepuk dengan kita sambil menunggu kita untuk membalasnya. Ironinya, nabi S.A.W tidak memerlukan kepada balasan kita sebenarnya. Baginda memulakannya kerana ingin melihat kita bahagia dan senang di akhirat kelak.

Ketikamana Rasulullah bersabda “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (berdoa) ke atasnya (sesiapa yang berselawat) dengan 10 kali selawat”, Rasulullah amat gembira dengan kurniaan Allah S.W.T tersebut. Bukanlah gembira dengan pujian dan limpahan doa yang bakal dilakukan oleh umat kepadanya, akan tetapi baginda gembira dan seronok apabila Allah akan memberikan ganjaran yang banyak kepada umatnya. Mana tidaknya, sekali kita berselawat kepada nabi, Allah akan membalasnya dengan 10 kali lebih baik daripada itu. Imam Sakhowi ketika mengulas perkara ini mengatakan bahawa satu selawat Allah (doa) kepada umatnya lebih baik daripada membuat 1000 kebajikan. Lihatlah cintanya nabi kepada kita semua, lebih memikirkan nasib umatnya berbanding perkara lain.

Kita juga tidak boleh melupakan jasa nabi Muhammad S.A.W ketika menerima ibadah solat fardhu pada peristiwa Isra’ Mikraj. Daripada 50 rakaat yang ditaklifkan, nabi berusaha untuk mengurangkan bilangan tersebut sehinggalah menjadi 5 rakaat seperti sekarang selepas mendapat signal daripada nabi Musa yang menyatakan umat akhir zaman ini tidak mampu melakukan ibadah sebanyak itu. Lalu turun-naik lah nabi berjumpa Allah untuk mengurangkan bilangan tersebut lantaran memikirkan umatnya walaupun dia sendiri ‘tebal muka’ untuk meminta pengurangan itu. Ada sebahagian riwayat menyatakan daripada 50 rakaat yang disyariatkan, ia dikurangkan 5 rakaat setiap kali nabi mengadap Allah. Secara congakan akal yang dangkal ini, bermakna 9 kali nabi S.A.W turun-naik secara tebal muka untuk berunding bagi urusan umatnya!! Akhirnya dengan sifat kasih sayang Allah jua, kita hanya difardhukan untuk menunaikan 5 kali solat sehari tetapi pahalanya tetap sama dengan 50 rakaat yang mula disyariatkan !!

Saat-saat akhir nabi di alam ini adalah isyarat yang paling jelas kepada kita bahawa baginda telah memulakan proses percintaan ini sebelum kita memulakannya. Ketika baginda nazak menghadapi sakaratul maut, baginda masih menyebut “Ummati, ummati, ummati (umatku, umatku, umatku)”. Jika kita fikir-fikirkan pun, tak mungkin orang yang sakit akan menyebut perkara yang lain ketika sakitnya melainkan mengerang kesakitan. Akan tetapi kerana cintanya kepada umatnya, baginda masih memikirkan umatnya walaupun di penghujung usia…. Ya Allah !!!!

MEMBALAS CINTA
Sudah menjadi resam orang bercinta, cinta itu akan menjadi asyik dan amat memabukkan jika cinta itu berbalas. Begitu juga bentuk cinta ini. Baginda telah menghulurkan cintanya, maka kitalah perlu menyambutnya. Malangnya kita pada hari ini, tidak mabuk dengan cinta kepada Allah dan cinta kepada nabi tetapi mabuk dengan cinta monyet dan cinta manusia yang fana’. Kita perlu memuhasabah kembali sejarah yang telah dilalui semoga generasi akan datang tidak kering dan gersang dengan cinta kepada Rasul mereka.

Sememangnya kesilapan bermula sejak awal lagi. Ketika kita kecil, kita tidak diajar untuk mencintai baginda. Kita lebih dulu diajar A-B-C sebelum diajar mengenali nabi. Kita lebih dulu diajar 1-2-3 sebelum kita diajar mencintai nabi. Malah amat mengecewakan perkara ini tidak langsung mendapat perhatian ibu bapa. Kita boleh lihat, anak-anak kini dibesarkan dengan watak-watak animasi Pokemon, Doraemon, Superman, Power Rangers dan Mickey Mouse. Astro menjadi pendidik kanak-kanak kini menggantikan peranan ibu bapa yang sepatutnya berperanan. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Tepuk dada, tanya iman.. Islam awal-awal lagi telah mengajar bagaimana kita hendak mendidik anak-anak dengan betul. Rasulullah pernah bersabda ;

أَدِّبوا أولادَكم على ثلاثِ خِصَالٍ حبِّ نبيكم وحبِّ أهل بيته وقراءةِ القرآن فإن حملة القرآن فى ظل الله يوم القيامة يوم لا ظل إلا ظله مع أنبيائه وأصفيائه
“Didiklah anak-anak kamu dengan 3 perkara – Cinta kepada nabi, cinta kepada keluarga nabi dan membaca al-Quran kerana orang yang menjadi ahli al-Quran akan berada di bawah naungan Allah bersama para anbiya’dan para sufi ketika hari kiamat di mana pada ketika itu tiada naungan lain kecuali naungan Allah”

Oleh kerana itu, kita semua perlu memupuk cinta ini dalam diri masing-masing. Sekiranya kita ada anak-anak, ajarkanlah mereka cinta kepada nabi sebelum mereka mengenali artis ataupun ikon animasi lain. Sekiranya kita seorang guru, selalulah bercerita kepada murid-murid mengenai nabi, insyaAllah daripada menceritakan peribadi baginda, orang akan jatuh cinta kepadanya. Walaubagaimanapun, ia perlu sentiasa dihangatkan dan jangan ditinggalkan. Umpama hubungan suami dan isteri, cinta akan menjadi lebih kuat apabila ia sentiasa dihangatkan dengan pengorbanan dan persefahaman.

Kesan perasaan cinta ini, kita akan membuktikannya dengan amalan kita. Bukti kecintaan yang paling besar ialah mengamalkan sunnahnya. Bukan sekadar mengamalkan sunnah-sunnah yang kecil seperti bersiwak, memakai serban atau memakai capal seperti capal Rasulullah, akan tetapi juga mengamalkan sunnah yang lebih besar seperti menjadi pewaris anbiya’ iaitu ulama’, membina negara dan berusaha mendaulatkan Islam. Kita juga akan bangkit ketikamana baginda dihina seperti yang berlaku di Denmark sebelum ini. Begitu juga kecintaan ini akan menyebabkan kita sentiasa mengingati baginda dengan berselawat kepadanya. Selawat inilah yang akan menjadi charger cinta kita kepada nabi S.A.W.

MEMPERINGATINYA SEMPENA KEPUTERAAN BAGINDA
Menyambut keputeraan baginda merupakan satu peluang bagi kita mengingatinya. Ini bukanlah bermakna kita hanya mengingatinya pada hari kebesaran baginda dan melupakannya pada hari-hari yang lain. Kita amat berbeza dengan orang barat. Orang barat merayakan Hari Ibu kerana mereka tidak berkesempatan untuk berbuat baik kepada ibu mereka pada hari-hari yang lain. Pada Hari Ibu, mereka pulang ke rumah dan memberi hadiah kepada ibu-ibu mereka kerana tidak sempat berbuat baik pada hari-hari lain. Begitu juga dengan Valentine Day..Semuanya dari barat yang sesat dan lemas dengan kehidupan dunia mereka. Islam tidak begitu. Islam menganjurkan kita sentiasa berbuat baik kepada sesiapa sahaja termasuk ibu bapa kita pada setiap masa dan waktu, malah melarang kita derhaka kepada mereka hatta tidak boleh berkata ‘Uh’ kepada mereka.

Begitu juga apabila kita menyambut keputeraan Rasulullah (Maulidurrasul). Bukan bermakna kita hanya mengingati baginda pada hari ini. Kita mengingati baginda mereka setiap hari dan setiap waktu solat kita apabila melafazkan selawat kepada baginda pada waktu tahiyyat. Pada hari maulid ini, kita hanya meningkatkan lagi rasa kasih dan sayang kita kepadanya lebih daripada hari-hari yang lain. Moga-moga dengan mengingati baginda akan menguatkan lagi azam kita untuk menjadi pejuang agama dan sunnahnya.

RASULULLAH DI HATI KITA
Sebenarnya amat bertuah kita menjadi umat nabi Muhammad. Tidakkah kita ingat bahawa para rasul yang lain ingin benar menjadi umat Muhammad kerana banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah. Namun itulah takdir, hanya insan yang terpilih menjadi umat utusan akhir ini.

Kita telah mengetahui pengorbanan Rasulullah dan juga betapa tingginya cinta baginda kepada kita. Baginda telah meletakkan kita sebagai umatnya di tempat yang tinggi di dalam hatinya. Setelah mengetahui ini semua, kita perlu persoalkan kepada diri kita sendiri, siapa pula Rasulullah di hati kita sekarang? Adakah kita telah meletakkan nilai cinta kita ini lebih tinggi daripada cinta kita terhadap dunia? Atau cinta kepadanya sama sahaja seperti kasih kita kepada orang-orang lain di atas muka bumi ini? Atau lebih teruk lagi, kita tidak langsung berasa cintakan Rasulullah. Tatkala orang menghina Rasulullah, kita hanya melihat dari jauh tanpa bangkit. Tatkala orang memijak-mijak sunnah Rasulullah dengan mengambil sumber panduan lain daripada al-Quran dan sunnah, kita tidak bersuara dan kadang-kadang tu menyokong pula.

Wahai sahabat-sahabat, apakah nasib kita di akhirat nanti tanpa cinta ini? Dengan siapa kita mahu mohon syafaat selain daripada Rasulullah? Layakkah kita mendapat syafaat baginda di akhirat tanpa cinta suci ini? Apakah kesudahan kita semua di akhirat? Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku untuk menjadi umat Muhammad yang cinta kepadanya….

Ana Sudah Bertunang...

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.


Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.


Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.


"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"


Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."


"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."


"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."



Ibu angguk perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.


"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"


Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.



"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."



Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.


"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"


Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila enti menikah?"


Aku tiada jawapan khusus.


"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..."
Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.



"Jemput ana tau!"
Khalilah tersenyum megah.


"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."


Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...


"Usah berlebihan ya..."


Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.


"Insyirah, jom makan!"


Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.


"Tafaddal, ana puasa."


Sahabiah juga semakin galak mengusik.


"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"


"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."


Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.


...........................................................................................


"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."


"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."


"Ya Allah, tenangnya..."


"Moga Allah memberkatinya...."



Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.


Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.


Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.


Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."


Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...


"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"


Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."


"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.


"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.


"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."



"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."



Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.


...........................................................................................


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."


sumber : http://www.murabbi.net/v1/articles.php?article_id=248

Aurat Wanita

Bulu Kening

Menurut Bukhari bahawa :
"Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." (Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari)
 
Kaki (tumit kaki)
"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki(atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (An-Nur : 31)

Keterangan :

Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.
Wangian
"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban)
Dada
"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka.” (An-Nur : ayat 31)

Gigi
"Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya." (Riwayat At-Thabrani)

"Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muka dan Tangan

"Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah : Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." (Riwayat Muslim dan Bukhari)

Tangan
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya". (Riwayat At Tabrani dan Baihaqi)

Mata

"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." (An Nur : 31)

Sabda Nabi saw :

" Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya.Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi)

Mulut (suara)

"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." (Al Ahzab: 32)

Sabda Rasullullah saw :

"Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik)dan penyanyi perempuan,maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." (Riwayat Ibn Majah)

Kemaluan

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka." (An Nur : ayat 31)

"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." (Riwayat Al Bazzar)

"Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Pakaian

"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud,An Nasaii dan Ibn Majah)

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan :

Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." (Al Ahzab :ayat 59)

Rambut

"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Resipi Penyembuh Hati

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Hasan Al-Bashri seorang ulama’ terkemuka yang berasal dari Bashrah, Iraq menyaksikan seorang pemuda datang kepada seorang doktor yang menanyakan perkara berikut :
Wahai doktor, apakah tuan memiliki resepi atau ubat mujarab yang boleh menghapuskan dosa-dosa dan menyembuhkan penyakit hati?
Doktor itu menjawab : Ya!
Pemuda itu berkata lagi : Berikan pada saya resepi mujarab itu!
Doktor berkata : “Ambillah sepuluh bahan pelebur dosa itu :
SEPULUH BAHAN PELEBUR DOSA
PERTAMA :
Ambillah akar pohon rasa fakir’ dan berhajat kepada Allah bersama dengan akar kerendahan hati yang tulus dan ikhlas kepada Allah.
KEDUA :
Jadikan taubatsebagai campurannya.
KETIGA :
Lalu masukkan ia dalam wadah ridha’ atas semua ketentuan dan takdir Allah.
KEEMPAT :
Campurkan dengan campuran qana’ah’ rasa puas dengan apa yang telah Allah berikan kepada kita.
KELIMA :
Masukkan dalam kuali takwa’.
KEENAM :
Tuangkan ke dalamnya air rasa malu’.
KETUJUH :
Lalu didihkanlah dengan api cinta’.
KELAPAN :
Kemudian masukkan dalam adunan syukur’.
KESEMBILAN :
Serta keringkan dengan kipasan harap’.
KESEPULUH :
Lalu akhirnya minumlah dengan sendok pujian’.
Jika engkau mampu melakukannya pastilah engkau mampu mencegah penyakit dan berbagai ujian samada di dunia mahupun akhirat” jelas doktor itu.
APABILA HILANG RASA FAKIR
Ramai orang yang melakukan dosa dan kesalahan terhadap Allah kerana dia merasa cukup dengan kemampuan dirinya dan seakan-akan tidak lagi memerlukan (rasa fakir) kepada sesiapapun, termasuk pada Yang Maha Kaya.
Dia beranggapan bahwa dirinya mampu melakukan semua perkara dengan :
a.      Kekuatannya.
b.      Kemampuannya.
c.      Potensi dirinya.
d.      Tenaga dirinya.
Dia merasa bahwa semua yang dia dapatkan adalah hasil dari :
1.      Kekuatan fikirannya.
2.      Kemampuan ilmunya.
3.      Kejernihan pengiraannya.
4.      Kematangan perhitungannya.
Inilah yang berlaku kepada Qarun yang angkuh dengan harta yang dimilikinya yang kemudiannya Allah turunkan azab kepadanya dengan ditelankannya dia oleh bumi yang tidak lagi suka pada :
a.      Kecongkakannya.
b.      Kesombongannya.
c.      Keangkuhannya.
yang dipamerkannya sehingga membuatkan bumi merasa marah.
APABILA HILANG RASA RIDHA
Sumber dosa lainnya adalah kerana orang itu tidak ridha’ dengan apa yang Allah tetapkan pada dirinya.
Sering kali dari bibirnya keluar keluhan dan bahkan kritikan kepada Allah kenapa Allah tidak memberikan yang “terbaik” :
  1. Menurut pandangannya.
  2. Menurut persepsinya.
  3. Menurut pemikirannya.
Dia menyangka bahwa apa yang dia alami ketika ini :
  1. Tidaklah sesuai bagi dirinya.
  2. Tidak patut untuk dirinya.
  3. Tidak layak untuk diterima.
Dia seakan-akan lebih tahu dari Allah Yang Maha Tahu yang mengetahui dengan terperinci semua perkara samada yang baik mahupun yang buruk bagi hambaNya.
Inilah yang berlaku kepada Qabil tatkala menuntut ayahnya agar dia dikahwinkan dengan adik kembarnya padahal Allah swt telah menentukan keputusan yang lain untuknya.
Lambat kembali kepada Allah merupakan penyebab lain dari tidak terhapusnya dosa-dosa yang kita lakukan.
BERTAUBATLAH!
Berlaku mendapan dosa kerana seringkali kita menunda ‘taubat’ yang sepatutnya kita lakukan dengan cepat.
Padahal Allah swt memerintahkan kita untuk segera merapatkan diri kepada Allah setelah beberapa lama kita telah menjauhinya.
Getarkanlah hati kita semua dengan kesesalan di atas semua kesalahan yang kita lakukan.
Mereka seakan-akan tidak tahu bahwa Allah swt sentiasa menerima taubat hambaNya dan Allah sangat senang dengan taubat mereka.
Ini sebagaimana firman Allah swt :
“Tidakkah mereka mengetahui, bahwasanya Allah menerima taubat dari hamba-hambaNya dan menerima sedekah, dan bahwasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?” (QS At-Taubah : 104)
APABILA HILANG RASA SYUKUR
Rasa tidak puas dengan apa yang Allah berikan pada kita merupakan penyakit kronik yang melahirkan :
1.      Buruk sangka kepada Allah.
2.      Menyangkal kehendak Allah.
3.      Menyalahkan Allah.
Rasa tidak puas dengan kurniaan Allah akan mengecilkan rasa ‘syukur’ kita kepadaNya dan bahkan satu ketika akan memadamkannya.
APABILA HILANG RASA QANA’AH
Lenyapnya rasa ‘qana’ah’ di atas segala kurniaanNya akan membuahkan ketamakan dan ketamakan akan melahirkan kezaliman-kezaliman manakala dari kezaliman akan memunculkan kerosakan-kerosakan yang akan menghancurkan susunan kehidupan.
SEMARAKKAN RASA TAKWA
Jika dalam diri kita telah ada rasa kefakiran, rasa ridha dan qana’ah dan taubat maka semangat ‘takwa’ kepada Allah hendaknya kita pupuk terus menerus dan kita bina dengan saksama.
Ini adalah kerana ketakwaan itu laksana sebuah tanaman yang jika dibina dengan sebaik-baiknya maka dia akan tumbuh subur dan indah dan jika kita biarkan maka ketakwaan itu akan segera layu dan lesu.
Ketakwaan boleh kita sirami dengan dengan :
a.      Rasa takut kepada Allah.
b.      Mengamalkan nilai-nilai Al-Qur’an.
c.      Puas dengan apa yang ada.
d.      Mempersiapkan diri sepenuhnya untuk perjalanan akhir kita iaitu kematian.
Jadikan ‘takwa’ terus menerus tumbuh, berkembang dan berterusan sampai maut datang menjelang.
KEKUATAN RASA MALU
Hendaknya kita merangsang ketakwaan kita sehingga kita merasa ‘malu’ untuk melanggar setiap perintah dan larangan Allah samada di khalayak ramai ataupun bersendirian.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (QS Ali Imran : 102)
HADIRKAN SEMANGAT CINTA
Ketakwaan kita akan semakin bermakna apabila yang menjadi pendorongnya adalah ‘cinta’ (mahabbah) kepada Allah.
‘Cinta’ kepada Allah sepenuh jiwa dan hati yang tidak lagi membuatnya berfikir atau merasa rugi dalam melaksanakan perintah dan anjuranNya.
Semangat cinta yang membakar hatinya akan sentiasa menggerakkannya untuk sentiasa :
1.      Dekat denganNya.
2.      Merapatkan diri kepadaNya.
3.      Giat berusaha untuk mencapai ridha dan kasihNya.
4.      Meminum melalui cawan rahmatNya.
dalam setiap langkah-langkah hidup dan goresan sejarahnya.
Rasa cintanya yang menggelegak kepada Allah akan sentiasa membuatkan :
a.      Hidupnya terasa benar-benar bermakna.
b.      Langkahnya penuh pasti menuju Kekasihnya.
c.      Cawan cintanya sentiasa dipenuhi dengan air mata takwa, ridha, qana’ah, taubat, syukur, tawakkal dan sabar.
TINGGIKAN RASA HARAP
Bagi para pencinta, yang di’harap’kannya bukan lagi dirinya tapi Zat yang dicintainya dan dia :
1.      Larut dalam gelombang kasihNya.
2.      Larut dalam rahmatNya.
3.      Masuk dalam dakapan ridhaNya.
PUJIAN YANG TIADA BATAS
Akhirnya pujian yang setinggi-tingginya hendaklah diangkat kepada Zat yang memang berhak untuk itu.
Oleh yang demikian, ramuan kefakiran kepada Allah adalah :
Taubat + Ridha + Qana’ah + Takwa + Malu + Cinta + Syukur + Harap + Pujian kepada Allah.
Di mana ianya akan membersihkan dosa kita serta mencairkan kesalahan kita.
Yakinlah bahwa resepi ini, selain mampu menghapuskan dosa kita, ia juga akan menambah kesegaran keimanan kita serta menambah tenaga keislaman kita dan memantapkan akar ihsan kita.
Selamat mencuba dan insyaAllah kita akan merasai khasiatnya dengan hasil jiwa yang segar dan jernih serta dosa yang minima setiap hari.
Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk kami menggunakan ubat dan resepi dariMu yang cukup berkesan untuk menimbulkan rasa fakir dan bergantung kepadaMu, menghapuskan segala dosa-dosa kami, menambah kesegaran keimanan kami serta memantapkan hakikat ihsan kami terhadapMu.
Powered By Blogger